Debat Presiden UMNO

Debat Presiden UMNO

Alhamdulillah, buat julung kalinya debat yang melibatkan pemilihan calon Presiden telah diadakan.
.
Walaupun debat ini melibatkan sebuah parti dan bukannya negara, namun saya mengharapkan pendekatan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
.
Tahniah Astro Awani kerana menganjurkan program ini. Tahniah juga kepada moderator kerana melakukan tugas dengan baik sekali.
.
Suka untuk saya mengulas bahasa badan ketiga-tiga calon ini. InsyaAllah ulasan penuh saya akan kongsikan di blog, namun saya kongsikan juga sedikit sebanyak apa yang dapat saya perhatikan dalam debat ini.
.

  1. Kewujudan Diri:
    .
    Walaupun DS Ahmad Zahidi Hamidi (DSZH) ada menyebut mengenai Non-verbal communication dalam debat ini, tetapi ketidakhadirannya ke studio sedikit sebanyak telah ‘mengurangkan’ kredibilitinya sebagai calon berbanding Khairy Jamaluddin (KJ) & Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).
    .
    Umpama 3 orang general perang ingin buat perhitungan terakhir, tetapi salah seorang hanya menghantar jurus dari jauh saja.
    .
    KEPUTUSAN: KJ – 1, Ku Li – 1, DSZH – 0
    .
  2. Eye Contact
    .
    Apabila ketiga-tiga calon memberikan hujah, eye contact adalah sangat penting kerana ia umpama memberi penjelasan sambil melihat kepada penerima mesej yang dituju.
    .
    Dalam hal ini, saya akan ambil penerima mesej adalah moderator kerana beliau mewakili rakyat Malaysia, menerima hujah bagi setiap calon.
    .
    KJ dan Ku Li dilihat memiliki peluang baik bagi aspek ini. Mereka memerhatikan moderator ketika menyampaikan hujah masing-masing.
    .
    Berbanding dengan DSZH, beliau dilihat seperti memandang ke bawah. Saya tidak pasti, berkemungkinan kamera berada di bawah sedikit dari paras matanya.
    .
    Namun, ketika ruangan soalan dikemuka kepada calon lain, beliau boleh memberi eye contact ke arah kamera pada paras matanya pula.
    .
    KEPUTUSAN: KJ – 1, Ku Li – 1, DSZH – 0
    .
  3. Torso Tubuh Badan
    .
    Torso adalah kedudukan tubuh. Dalam aspek ini, KJ dilihat memiliki kelebihan di mana badannya berada pada kedudukan posisi tegak dan kedudukan dagunya sedikit ke atas ketika menyampaikan hujahnya.
    .
    Kedudukan dagu akan membantu dalam meningkatkan hormon testosterone untuk berada pada kedudukan tinggi dan memberi keyakinan kepada diri.
    .
    Ku Li dilihat mencondongkan sedikit badannya ke hadapan. Di dalam bahasa badan, saya kategorikan sebagai ‘Forward Lean’ yang bermaksud menunjukkan rasa minat kepada program tersebut.
    .
    Kedudukan kepalanya juga sedikit ke hadapan yang mempamerkan aspek merapatkan ‘Proxemics’ atau jarak dengan moderator. Semakin rapat bermaksud semakin positif hubungan dengan seseorang.
    .
    DSZH pula dilihat duduk menegak cuma kedudukan kepala yang sedikit senget yang membawa maksud manipulasi.
    .
    Memandangkan bahagian kirinya ‘terbuka’, manipulasi di sini saya kira lebih kepada memanipulasi sokongan dan pandangan penonton. Sebaiknya beliau menegakkan kepala khususnya apabila memberikan janji melakukan perubahan kerana ia lebih membantu.

.
KEPUTUSAN: KJ – 1, Ku Li – 1, DSZH – 0
.

  1. Ekspresi Wajah Mikro
    .
    Dari sudut ekspresi, banyak yang dapat saya perolehi cuma saya akan kongsikan satu sahaja, selebihnya di dalam blog.
    .
    KJ dan Ku Li mempamerkan sisi ketenangan, sama ada ketika memberi hujah, menjawab soalan dari calon lain atau sesi penggulungan.
    .
    Namun, ekspresi wajah DSZH terlalu banyak mempamerkan ketidak selesaan,sama ada ketika berhujah ataupun ketika menjawab soalan mengenai pentadbiran yang lepas.
    .
    KEPUTUSAN: KJ – 1, Ku Li – 1, DSZH – 0
    .

Lain-lain

Bagi melihat beberapa siri bahasa badan yang lain di dalam debat ini, saya akan kongsikan juga beberapa waktu di mana bahasa badan mereka memberikan maklumat tambahan kepada kita.

Dalam soalan yang pertama oleh moderator, beliau menanyakan kepada Ku Li, apakah perubahan atau rejuvenasi yang ingin beliau lakukan sekiranya terpilih sebagai Presiden. Ku Li, sebelum menjawab, ada memberikan komentar mengenai situasi kepimpinan sebelum ini yang mana kepimpinan atasan telah mengongkong dan menyekat suara orang bawah.

Kita dapat melihat ekspresi wajah dan kedudukan bahasa badan KJ dan DSZH memberikan signal tidak selesa (boleh dilihat daripada gambar di bawah) kerana secara tidak langsung mereka terkena dek komentar tersebut. Apabila seseorang menunduk ke bawah dengan ekspresi tersebut,bahasa badan mereka membawa maksud ‘Malu”.

Ketika soalan yang sama diajukan kepada KJ, KJ dilihat begitu teruja dan bersedia.Reaksi ini dapat dilihat apabila beliau menyatakan pandangannya, sambil postur badannya menegak, terdapat lirikan senyuman dan juga permainan tangan (Palm Up) ketika menyuarakan pandangan. Bahasa badan ini mampu melonjakkan ekspresi terbaik penonton dan membuatkan pendengar teruja untuk mendengar apakah lontaran ideanya.

Apa yang menarik juga, saya sempat melihat reaksi dua lagi calon apabila KJ menyatakan untuk membuang kekebalan Presiden parti. DSZH dilihat memberikan ekspresi wajah yang tidak selesa dengan idea tersebut, manakala Ku Li dilihat seperti menyokong idea tersebut. Situasi ini boleh dilihat pada gambar di bawah.

Tatkala DSZH bagi menjawab soalan yang sama, beliau ada menyebut untuk melakukan penstrukturan semula dan memberi roh baru, kedua-dua calon seolah bersetuju dengan idea tersebut. Ia dapat melihat kedua-dua mereka menganggukkan kepala sambil tersenyum. Saya merasakan ada sinar untuk mereka bertiga dapat bekerjasama dalam membangunkan semula UMNO.

KJ juga ada menyatakan kekesalan dan memohon maaf kerana sebagai salah seorang kepimpinan tinggi yang lepas, beliau gagal untuk menyatakan kebenaran dan ini dapat dilihat melalui bahasa badan beliau. Pada wajahnya terdapat sedikit ekspresi ‘Self-Contempt‘ dan penggunaan tangan yang menceritakan perihal hatinya.

KJ juga ada menyebut mengenai sekiranya dilantik sebagai Presiden, beliau mengharapkan ahli dapat menyatakan kebenaran walaupun pahit dan tidak diangkat sebagai ‘Dewa Politik’. Kenyataan ini memberi sentakan kepada DSZH tetapi disetujui oleh Ku Li kerana terdapat sedikit senyuman pada wajahnya. Eskpresi dan bahasa badan tersebut boleh dilihat pada gambar di bawah.

Ketika DSZH menjawab soalan mengenai pendirian beliau sebagai salah seorang daripada kepimpinan yang lepas, beliau menjawab bahawa UMNO yang lepas tidak gagal tetapi komponen parti yang lain yang gagal. Apa yang menariknya di sini, KJ dan Ku Li memandang dengan senyuman sinis pada jawapan tersebut. Kelihatan mereka tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Ulasan DSZH juga menarik, kerana sambil berhujah, beliau sempat ‘menembak’ KJ (pada pengamatan saya) apabila menyatakan jangan ada yang sabotaj dan pemboikotan. Di lihat di sini, KJ mula duduk dalam keadaan tidak selesa dan menarik nafas dengan dalam. Rasanya KJ sedar kenyataan tersebut ditujukan kepadanya.

Bila bercakap mengenai debat, tidak sah kiranya untuk tidak melakukan provokasi atau ‘menembak calon lain. Di sini, Ku Li juga mengambil kesempatan untuk berbuat demikian apabila menyatakan ada pemimpin UMNO yang berlagak dan bersikap Elitis. Jelas KJ dan DSZH ‘terasa’ dengan kenyataan sedemikian apabila kedua-dua mengetapkan dan memuncungkan bibir. Hebat juga Ku Li, dalam kelihatan tenang, sekali sekala ‘menembak’ pesaingnya’.

Sesi soal jawab di penghujung debat juga adalah menarik. Namun saya berfikir untuk memberikan ruangan analisa tersebut pada Kursus Pensijilan Malaysia’s Body Language Facilitator Program pada 8-10 Ogos 2018 nanti.

Walau bagaimanapun, banyak bahasa badan yang boleh kita lihat dari Debat Presiden UMNO ini dan sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada pengundian pada esok hari (30 Jun 2018). Saya suka mencadangkan agar pada masa akan datang agar debat seumpama ini diadakan lebih awal daripada hari pengundian (contoh, seminggu sebelum hari pengundian) kerana iamemberi ruang untuk perwakilan mendengar dan membuat penilaian selain kesediaan semua calon untuk hadir dalam debat ini.

Apa pun syabas saya ucapkan kepada Astro Awani atas kesediaan menganjurkan program seumpama ini. Kepada calon-calon dan perwakilan, selamat mengundi.

InsyaAllah kita bertemu lagi pada entri yang akan datang.

 

SHAHROM HASSAN K.B, P.A

Body Language Guru

Bila Datuk Seri Zahid Bertemu Tun Mahathir

Bila Datuk Seri Zahid Bertemu Tun Mahathir

Assalamualaikum dan Salam Ramadan al-Mubarak,

Alhamdulillah, hari ini kita telah berada di 23 Ramadan, bermakna kita bukan sahaja berada di fasa akhir (10 Ramadan terakhir) malah berada di salah satu tempoh di mana Allah mengurniakan malam Lailatul Qadar kepada hambaNya yang beriman.

Baiklah, seperti yang dijanjikan, saya akan kongsikan analisa saya mengenai bahasa badan. Kali ini, analisa bahasa badan ini adalah daripada gambar kunjungan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu Tun Mahathir.

Pada posting saya semalam, rata-rata komen yang diterima, ada yang hampir tepat persepsi bahasa badannya dan ada juga yang lebih menjurus kepada meluahkan kemarahan kepada Barisan Nasional.

Baiklah, ini adalah ulasan saya pula mengenai bahasa badan pertemuan dua pemimpin ini.

Micro Facial Expressions

Dari aspek micro facial expressions, Datuk Seri Ahmad Zahid mempamerkan ekspresi ketidak selesaan, namun kedudukan pipi kirinya sedikit tinggi  berbanding di sebelah kanan BUKANLAH menandakan beliau sedang mempamerkan ekspresi ‘Contempt sebagaimana kajian Dr. Paul Ekman, tetapi lebih kepada ia adalah baseline beliau. Boleh perhatikan gambar-gambar beliau di Google untuk memastikan kedudukan wajah beliau.

Dari ekspresi wajah Tun Mahathir juga, dapat dilihat beliau mempamerkan ekspresi ‘Contempt’ dan ekspresi ini lebih menjurus kepada perasaan beliau sama ada secara individu atau motif pertemuan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid sendiri.

Cara Berdiri

Daripada bahasa badan cara Datuk Seri Ahmad Zahid berdiri, kita dapati bahunya sedikit tinggi, sedikit condong ke hadapan sehingga kelihatan leher sedikit pendek daripada biasa. Ini menunjukkan beliau sedikit berasa tidak selesa dengan moment tersebut dan cortisol adalah lebih tinggi berbanding testosterone. Cortisol adalah hormon stress di mana apabila cortisol tinggi, ia mampu menjejaskan keyakinan diri dan merasa tidak selamat.

Beliau juga berdiri sedikit menyerong ke arah Tun Mahathir, ie, cuba menghalakan belly button atau pusatnya ke arah Tun Mahathir. Ini membawa maksud kunjungan beliau adalah ‘sincere’ untuk membina hubungan yang lebih baik.

Manakala cara berdiri Tun Mahathir pula, beliau mempamerkan postur bahasa badan yang selesa di mana kedudukan bahunya berada pada kedudukan relaks. Berbeza dari aspek belly button, di mana beliau tidak menyerong badannya ke arah Datuk Ahmad Zahid. Saya merasakan Tun menggambarkan pertemuan tersebut adalah sekadar pertemuan profesional dan tidak lebih daripada itu.

Proxemics

Dari aspek proxemics atau jarak di antara individu, kita dapat lihat postur badan Tun sedikit ke kiri, seolah-olah menjarakkan sedikit dirinya daripada Datuk Seri Ahmad Zahid. Di dalam proxemics, sekiranya seseorang semakin hampir kepada kita ia membawa maksud individu terbabit merasa selesa dan ingin membina hubungan yang lebih. Namun sekiranya beliau menjarakkan diri, ia membawa maksud sebaliknya.

Hammer Fist

Jika diamati tangan kanan Datuk Seri Ahmad Zahid dan tangan kiri Tun Mahathir, kedua-duanya mempamerkan Hammer Fisting yang membawa maksud agresif. Kebiasaannya ia membawa maksud masing-masing berpegang kepada pandangan masing-masing dan saya menjangkakan hasil pertemuan ini tidak mencapai kata putus seperti diharapkan.

Jika diperhatikan pada tangan kiri Datuk Seri Ahmad Zahid pula, beliau meletakkan tangan kiri ke belakang. Apabila kedudukan tangan tidak kongruen, di mana tangan kanan di hadapan (hammer fist) dan tangan kiri ke belakang ketika berdiri, ia membawa maksud berlaku ‘konflik emosi’ dalam dirinya, di antara mempamerkan elemen agresif dan rasa tidak selesa dalam diri.

Kesimpulan

Berdasarkan bahasa badan yang dipamerkan dalam gambar ini, kita dapat simpulkan pertemuan ini lebih ke arah pertemuan profesional di antara dua pemimpin sahaja. Namun, kata sepakat tidak dapat dicapai atas faktor pendirian parti yang berbeza.

Berdasarkan pertemuan ini juga, Tun Mahathir jelas menguasai suasana melalui bahasa badannya yang ternyata memberi kesan kepada ‘lawannya’. Sebagai Timbalan Presiden yang memangku tugas Presiden UMNO, banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid dalam membina pengaruh dan serta menarik kepercayaan ahli UMNO kepada beliau.

Sekian untuk entri kali ini.

 

SHAHROM HASSAN K.B, P.A

Body Language Guru

Analisa Bahasa Badan | Wacana Mengenai Tun M?

Analisa Bahasa Badan | Wacana Mengenai Tun M?

Assalamualaikum,

Apa khabar semua? Allahu Akbar…lama betul rasanya tidak aktif di lama blog ini.

Alhamdulillah, rezeki di awal tahun. Banyak program selain personal coaching telah ditempah, apatah lagi pilihanraya pun sudah makin hampir.

Jangkaan saya mengenai pilihanraya? Biarlah rahsia hehe Sebagai bukan ahli politik (walaupun keluarga saya aktif berpolitik), saya kurang cenderung untuk berbincang mengenai topik ini. Jika perkara yang hampir-hampir dengan politik, insyaAllah bolehlah saya kongsikan sepatah dua.

Bercakap mengenai hampir-hampir dengan politik, baru-baru ini satu wacana telah diadakan dengan anjuran sebuah syarikat penerbitan.

Bagi yang telah melihat di Facebook saya, pasti telah membaca komen bahasa badan yang saya telah kongsikan.

Jadi di sini saya kongsikan semula bagi yang belum berkesempatan membaca ulasan bahasa badan saya mengenai salah seorang panel dalam wacana ini.

Apa yang saya ingin bawakan ini bukanlah berkaitan politik tetapi bahasa badan yang dapat dilihat daripada gambar ini telah menarik perhatian saya.
.
Saya tertarik pada bahasa badan panel wacana ini yang berbaju hijau ini (sebelumnya saya tidak pasti apakah tajuk wacana ini).
.
Beliau seolah-olah ada satu perasaan malu apabila tangannya menutup ‘power zone’ dan kelihatan tidak selesa. Power Zone ialah kawasan yang sekiranya ditutup, menandakan ketidak selesaan dan cuba menyembunyikan sesuatu.
.
Ekspresi wajahnya juga cenderung kepada perasaan Fear. Selain itu dengan matanya merenung ke bawah (downward gaze) membawa maksud beliau berasa bersalah.
.
Tun M pula memandang panel berbaju hijau tanpa mendapat respon menunjukkan panel tersebut merasa tidak selesa.
.
Manakala pandangan dari atas kaca mata oleh Tun M membawa maksud “Are you kidding me?” dan sedikit ekspresi Contempt jelas menandakan Tun M menguasai situasi. 

Setelah scroll beberapa posting rakan-rakan FB lain, barulah saya memahaminya setelah menemui post daripada Tun M sendiri.



 

Ahmad Maslan Lari Dari Jawab Soalan: Analisa Bahasa Badan

Ahmad Maslan Lari Dari Jawab Soalan: Analisa Bahasa Badan

Baru-baru ini, video daripada KiniTV menjadi viral apabila wartawan ingin menanyakan komen Ahmad Maslan berkenaan isu kenaikan harga minyak masak. Bagi yang belum menonton video tersebut, anda boleh menonton videonya seperti di bawah:

Namun suka saya ingatkan perkongsian ini hanya berkaitan bahasa badan beliau. Ia sama sekali tidak berkait dengan politik.

Berikut adalah analisa saya mengenai bahasa badan beliau. Walaupun video tersebut adalah pendek dengan durasi selama 26 saat sahaja tetapi beberapa bahasa badan dapat dilihat yang boleh menggambarkan keadaan diri beliau ketika itu. Ini adalah analisis saya.

0:06 – Ketika beliau sampai, tangannya telah menyentuh Power Zone iaitu di bahagian leher, menandakan diri sudah terasa ‘terancam’ dengan kehadiran wartawan di situ.

0:07 – Setelah itu, beliau menyentuh hidungnya, menandakan dirinya nervous dan sudah menjangka soalan yang bakal ditanya.

0:09 – Matanya tidak fokus ketika soalan mula diajukan kerana ketika itu fikirannya sedang menerawang berfikir sesuatu, mencari ‘jalan’ agaknya.

0:13 – Time delay, adalah salah satu teknik dalam deception, di mana beliau bersalam dengan semua orang sebelum melangkah pergi.

0:23 – Postur badannya yang ‘menguncup’ seolah-olah sedang memasukkan tangannya ke dalam poket menandakan dirinya tidak selesa dengan situasi sebentar tadi.

Seperti saya katakan tadi, video yang pendek tetapi banyak bahasa badan yang boleh dianalisis daripada individu terbabit.

Daftar Segera untuk menyertai Kursus Pensijilan Malaysia’s Body Language Facilitator Program hari ini.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini:
http://tinyurl.com/j9scd73 atau pakarbahasabadan.com/mblf/

Ingin tahu dengan lebih mendalam mengenai impak Bahasa Badan dalam hidup anda atau ingin menjemput Pakar Bahasa Badan berkongsi ilmu di organisasi anda, KLIK DI SINI atau hubungi 017-7652769 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pertemuan Obama & Trump di White House: Analisa Bahasa Badan

Pertemuan Obama & Trump di White House: Analisa Bahasa Badan

Baru-baru ini, pilihanraya Presiden Amerika Syarikat telah berlangsung untuk memilih calon Presiden US ke 45 dan pertembungan di antara calon Demokrat, iaitu Hillary Clinton dan calon Republikan, iaitu Donald Trump telah menarik perhatian dunia. Semua telah sedia maklum mengenai keputusan yang dimenangi oleh calon kontroversi iaitu Donald Trump.

Beberapa hari kemudian, Trump telah bertemu Obama di White House dan telah dilaporkan oleh CNN mengenai pertemuan bersejarah tersebut. Sejarah di antara Trump & Obama bukanlah baru. Ia bermula apabila Trump telah mempertikaikan tempat kelahiran Obama dan kedudukannya sebagai Presiden. Beberapa hari kemudian, Obama telah mempersenda Trump di sebuah majlis sehingga membuatkan Trump ‘merah padam’ dan meletakkan nekad untuk bertanding sebagai calon Presiden bagi penggal seterusnya. Semuanya telah menjadi sejarah.

Hari ini Obama & Trump bertemu semula. Video pertemuan mereka boleh dilihat melalui video di bawah ini:

Kerana video ini, ramai yang telah menghubungi saya untuk mendapatkan maksud bahasa badan melalui pertemuan dua tokoh ini. Pada asalnya analisis ini saya inginkan kongsikan di dalam Kursus Pensijilan Malaysia’s Body Language Facilitator Program yang akan diadakan pada 2-4 Disember 2016 nanti tetapi kerana ramai menanti respon saya daripada saya, jadi ini adalah analisis saya.

0:04 – Cuba perhatikan ketika Obama memulakan press conference, beliau tidak memandang Trump dan hanya memandang beberapa saat kemudian, bermaksud rapport di antara mereka masih tidak berjalan dengan baik.

0:10 – Kedua-dua mereka sedang duduk pada posisi tegap, menandakan mereka mempamerkan mereka berdua adalah lelaki yang berkuasa.

0:10 – Tangan Trump pada kedudukan ‘Steeple’ tetapi pada kedudukan rendah, selain ia berada pada paras ‘Power Zone’, menandakan dirinya bakal menanggung suatu beban yang sangat berat yang tidak terjangkau oleh fikirannya sebelum ini. Pandangan matanya juga dilihat agak serius.

0:16 – Obama juga melakukan gaya ‘Steeple’ ketika berkata-kata, ia bermaksud beliau menghormati Trump.

0:25 – Trump dilihat ‘melaga-lagakan’ jari-jarinya, menandakan hormon kortisolnya tinggi tetapi sedang cuba mengawalnya.

0:30 – Ketika Obama menyebut ‘facilitate‘, Trump dilihat menundukkan kepalanya ke bawah dan bibirnya diketapkan, bermaksudnya dia sangat berharap peralihan kuasa berjalan dengan lancar dengan bantuan Obama. Seterusnya memberikan eye contact kepada Obama menandakan dia mengharapkan Obama mengotakan kata-katanya.

0:42 – Obama seakan-akan tidak lancar tone suaranya ketika menyebut ”I have been very encouraged by the interest in President-elect Trump to work with my team around many of the issues that this great country faces and I believe that it is important for all regardless of party and regardless of political preferences to now come together, work together to deal with the many challenges we face,’ dan di sini saya bersetuju dengan tulisan mentor saya, Patti Wood, di mana Obama hakikatnya berasa sebaliknya. Namun ada yang disetujui olehnya.

contempt

1:10 –  Ada ekspresi ‘Contempt’ pada wajah Trump ketika Obama menyebut ‘work together, deal together’, seolah-olah ada sesuatu kekurangan pada polisi Obama yang boleh dibaiki olehnya.

2:02 – Pandangan mata Obama kepada Trump ketika Trump mula untuk memberi respon menunjukkan Obama melakukan ‘eye blocking’ iaitu berlaku apabila kita tidak suka apa yang kita lihat atau dengar, menandakan hubungan mereka masih lagi tidak berjalan dengan baik.

2:34 – Bibir Trump diketap apabila menyebut ‘Counsel’, dan saya merasakan ia adalah satu perkara yang sukar untuk diterima oleh Trump

trump-aok

2:41 – Trump menggunakan gesture ‘A-OK’ ketika menyebut high flying assets (Gambar ihsan AP)

trump-obama-handshake

2:49 – Kedua-dua bersalaman tetapi jika dilihat pada ekspresi wajah Obama, menunjukkan dirinya masih mempunyai unfinished business antara dirinya dan Trump tetapi simbolik ‘passing the torch’ telah berlaku di situ (Gambar ihsan AP)

Sepanjang sesi tersebut, dilihat kedudukan bahu Trump pada kedudukan ‘jatuh’ seolah-olah pertemuannya bersama Obama telah membuatkan dirinya berasa risau dengan tanggungjawab yang bakal ditanggung.

Daftar Segera untuk menyertai Kursus Pensijilan Malaysia’s Body Language Facilitator Program hari ini.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini:
http://tinyurl.com/j9scd73 atau http://pakarbahasabadan.com/mblf/

Ingin tahu dengan lebih mendalam mengenai impak Bahasa Badan dalam hidup anda atau ingin menjemput Pakar Bahasa Badan berkongsi ilmu di organisasi anda, KLIK DI SINI atau hubungi 017-7652769 untuk mendapatkan maklumat lanjut.