Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua yang mengikuti blog ini.

Kali ini saya ingin berkongsi mengenai ekspresi wajah Sir Alex Ferguson apabila pasukan yang pernah dibimbingnya kalah kepada Liverpool.

Lebih tragis kekalahan kali ini adalah sebanyak 5 gol tanpa balas.

Ini bukanlah kekalahan terbesar yang pertama kali berlaku kepada Manchester United. Sewaktu Sir Alex menjadi pengurus dahulu, beliau juga pernah mengalami kekalahan yang besar.

Namun kali ini lebih sadis apabila tewas kepada musuh tradisi, lebih-lebih lagi di halaman sendiri iaitu di Old Trafford.

Jika dilihat di dalam video pendek di atas, terdapat 3 perkara yang boleh dilihat melalui ekspresi yang dipamerkan.

  • Pertama: Pada pangkal hidung
  • Kedua: Bibir dan kepala digeleng
  • Ketiga: Dagu

Jika kita lihat pada pangkal hidung, kita dapati hidung sedikit terangkat ke atas seperti dikepitkan. Ini adalah ekspresi ‘Disgust’ yang cenderung membawa maksud tidak suka dan jelek.

Jelas Sir Alex tidak suka dengan apa yang dilihatnya dan merasa jelek dengan kekalahan yang melanda kepada pasukan pilihannya.

Kita turun sedikit ke bawah untuk melihat bibirnya pula. Bibirnya dilihat seperti dijuihkan dan kemudiannya kita dapati juga kepalanya digelengkan. Jika kepalanya tidak digelengkan sekalipun, isyarat pada bibir Sir Alex sudah cukup memberi isyarat kepada kita bahawa beliau tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Terakhir, kita lihat pula pada kedudukan dagu Sir Alex. Dagunya seakan naik, dan apabila ‘chin boss’ terangkat seperti itu, ia membawa maksud rasa malu. Mana tak rasa malu apabila musuh tradisi mudah meratah tanpa belas kasihan di kubu sendiri.

Mengenai ekspresi Kenny Dalglish, lagenda dan bekas pengurus Liverpool, tidak perlulah saya jelaskan kerana amat jelas kegembiraan terpancar di wajahnya.

Dalam video yang singkat dan dari wajah Sir Alex Ferguson, kita mudah dapati 3 isyarat penting yang membuatkan kita lebih memahami apakah emosi yang dialami seseorang.

Dan cuba bayangkan, apabila kita melihat ekspresi ini sama ada di rumah, di pejabat, bersama klien atau sebagainya, pasti kita boleh menyusun strategi yang sesuai hanya berdasarkan bahasa badan yang dipamerkan oleh seseorang.

InsyaAllah bertemu lagi pada entri yang akan datang. Glory glory Man United!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *