Bagaimana Bahasa Badan Mengubah Dunia?

Pada 26 September 1960, sejarah tercipta apabila debat pemilihan calon Presiden AS disiarkan secara langsung di kaca televisyen buat pertama kali. Perdebatan ini telah mengubah langskap politik Amerika Syarikat (AS) dengan membuka era baru perdebatan di kaca televisyen.

 

Richard Nixon, dari Parti Republikan, merupakan seorang bekas peguam dan juga Naib Presiden AS pada ketika itu, ditentang oleh John F. Kennedy, seorang senator muda tetapi berjiwa besar dari Massachusetts. Memandangkan AS pada ketika itu berhadapan dengan Perang Dingin bersama Soviet Union, selain pengaruh revolusi Fidel Castro yang semakin meluas, ia menimbulkan keresahan di kalangan rakyat dan sememangnya calon berpengalaman dilihat kriteria terbaik untuk mengisi jawatan Presiden. Jika pengalaman dijadikan sebagai penanda aras dan ukuran, Richard Nixon dilihat sebagai pilihan rakyat dan dijangka memenanginya dengan mudah.

 

Tibalah pada hari yang dijanjikan, kedua-dua calon telah hadir ke studio CBS yang terletak Chicago dan memberi peluang kepada rakyat untuk menilai sejauh mana calon terbaik akan memenangi perdebatan tersebut. John F. Kennedy telah melakukan persiapan rapi untuk debat ini. Beliau telah tampil dengan memberikan hujahnya dengan tenang, santai dan aura tersendiri. Berlainan pula dengan Richard Nixon, beliau dilihat agak gemuruh, penyampaian yang kurang lancar dan tidak berkeyakinan. Lebih malang lagi, beliau kelihatan pucat di kaca televisyen.

 

Bagaimana seorang Naib Presiden yang telah berkhidmat selama lapan tahun seperti Nixon boleh kelihatan pucat di kaca televisyen? Jawapannya mudah, ia disebabkan Nixon enggan mengenakan solekan, berbanding Kennedy yang meletakkan bedak pada wajahnya agar kelihatan lebih berseri. Keengganan Nixon telah memakan diri apabila dirinya dilihat umpama ‘lilin yang meleleh’ di bawah cahaya lampu studio.

 

Statistik yang dilakukan selepas siaran debat tersebut menunjukkan rakyat yang menonton debat di kaca televisyen telah memilih Kennedy sebagai calon terbaik untuk jawatan Presiden. Manakala bagi rakyat yang mendengar perdebatan di antara dua ikon ini melalui saluran radio telah memilih Nixon sebagai calon pilihan. Akhirnya pada pilihanraya Presiden pada 8 November 1960, Kennedy telah telah diumumkan sebagai pemenang dan dilantik sebagai Presiden AS yang baru.

 

Perdebatan di antara Kennedy dan Nixon telah menjadi lipatan sejarah perdebatan pemilihan calon Presiden kerana rakyat AS dapat melihat calon-calon mereka secara visual. Selepas 50 tahun, sejarah kembali tercipta apabila kisah yang hampir sama pada tahun 1960 kembali berlaku pada tahun 2008. Pada 5 November 2008, Barack H. Obama dari Parti Demokrat telah dipilih sebagai Presiden AS mengatasi seterunya dari Parti Republikan, John McKain. Ramai yang tidak menjangka beliau akan memenangi pilihanraya ini memandangkan sikap prejudis perkauman yang agak kuat di negara yang terkenal dengan gelaran Uncle Sam itu. Namun selain faktor krisis ekonomi dan kelemahan pentadbiran George W.Bush, ramai yang terpesona dengan keterampilan Barack Obama. Keperibadian yang baik, selain kebijaksanaan dalam mengutarakan pendapat dan membalas hujah telah menarik perhatian dan hati rakyat AS untuk memilihnya.

 

Apakah rahsia Kennedy dan Obama, yang pada awalnya dianggap sebagai calon underdog (bukan pilihan), berjaya memenangi pilihanraya Presiden? Rahsianya ialah mereka memanfaatkan sepenuhnya KUASA BAHASA BADAN. Menurut Dr. Albert Mehrabian, seorang Profesor psikologi di University of California, Los Angeles (UCLA), telah melakukan kajian dan mendapati impak komunikasi terbahagi kepada tiga komponen iaitu komunikasi lisan, vokal suara dan bahasa badan. Komunikasi lisan mencatatkan impak sebanyak 7% , manakala vokal suara memberi impak sebanyak 38% dan baki 55% lagi adalah daripada bahasa badan.

 

Bahasa Badan Membongkar Rahsia Tersembunyi

 

Masih teringat kisah skandal seks Bill Clinton bersama pembantu pejabatnya, Monica Lewinsky? Bill Clinton dianggap sebagai salah seorang Presiden terbaik dalam sejarah AS. Karisma dan pengaruh beliau berjaya menawan hati rakyat dan dihormati oleh musuhnya. Apabila kisah skandal ini terbongkar, rata-rata rakyat tidak mempercayainya. Pada 26 Januari 1998, Bill Clinton telah tampil di sidang media bagi menjawab pertuduhan skandal yang hangat diperkatakan di seluruh dunia. Di dalam media tersebut, Clinton mengatakan,

 

“Saya tidak pernah mempunyai sebarang hubungan seks bersama wanita tersebut, Cik Lewinsky. Saya tidak pernah menyuruh sesiapa untuk menipu, walau hanya sekali. Tuduhan ini adalah palsu. Dan saya akan kembali bekerja untuk rakyat Amerika. Terima kasih”.

 

Nampak seperti tiada cacat cela pada kenyataan ini. Sesiapa sahaja yang mendengar kenyataan pasti berasa yakin sememangnya Clinton tidak terlibat di dalam skandal ini. Namun bahasa badan beliau menceritakan sebaliknya.  Akhirnya, seperti yang kita telah tahu, akhirnya Bill Clinton akhirnya mengaku bahawa tuduhan tersebut adalah benar.

 

Bagaimana pula ceritanya boleh berbeza sehingga Bill Clinton ‘terkantoi’ juga? Sekali lagi, jawapannya ialah KUASA BAHASA BADAN. Janine Driver, yang kini adalah Presiden di Institut Bahasa Badan, AS, mengatakan sekiranya berlaku konflik di antara kata-kata dan bahasa badan, wajib bagi kita untuk mempercayai apa yang dipamerkan bahasa badannya. Bagi kes skandal seks Bill Clinton, bahasa badannya telah ‘membongkar’ pertuduhannya sendiri tanpa beliau sedari.

 

Membongkar rahsia di sebalik bahasa badan, terutama dari aspek melihat bagaimana manusia berkomunikasi dengan pemikiran dan perasaan tanpa berkata-kata, boleh kita katakan sebagai senjata rahsia dalam mendepani apa jua situasi. Kita lihat sahaja bagaimana Kennedy dan Obama menarik perhatian orang ramai dengan keterampilan yang memukau, walaupun mereka dilihat bukan sebagai calon pilihan pada peringkat awal. Kedua-dua tokoh ini tahu bagaimana untuk membuatkan pendengar berasa selesa dan ia memudahkan proses membina hubungan berlangsung dengan mudah. Sekiranya perancangan awal tidak berjalan dengan efektif, mereka akan menukar strategi dengan pantas berdasarkan kesesuaian citarasa pendengar.

 

Kemampuan ‘melihat’ sesuatu daripada pergerakan badan, postur, ekspresi wajah, pergerakan tangan dan pergerakan mata seseorang mampu memberi maklumat penting kepada kita seterusnya membongkar rahsia tersembunyi yang tidak boleh didapati melalui kata-kata.

 

Nak mendalami ilmu ini dengan lebih mendalami lagi, ikuti saya rapat-rapat dengan menjadikan laman web ini sebagai sumber rujukan bahasa badan anda.